Konsert solo mega pertama Stacy Anam di tanah kelahirannya, Sabah, menyaksikan lebih 3,000 peminat membanjiri Sabah International Convention Centre (SICC) bagi menyaksikan persembahan memukau penyanyi kesayangan ramai itu.
Konsert bertajuk Aku Stacy (Menggegar Kota U) berlangsung penuh bertenaga hampir tiga jam, memperlihatkan Stacy dalam elemen terbaiknya sebagai seorang penghibur sejati.

“Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi kerana ini betul-betul ‘Stacy’ punya konsert,” katanya puas.
Stacy membuka konsert dengan lagu Pakai Buang dalam busana ranggi, sebelum membakar pentas dengan rangkaian lagu hit seperti Gilalah, Not For Sale, Cakap Ke Tangan, dan Menyala.
Momen dramatik tercipta apabila Stacy ‘terbang’ di tengah dewan semasa lagu Khayal, disusuli detik emosi ketika menyanyikan Kisah Dongeng dan Pelangi Senja bersama peminat.
Penonton turut dihidangkan dengan persembahan duet bersama suami tercinta, Akim Ahmad, termasuk lagu Die With A Smile dan Aku, Kau & Muzik. Akim juga tampil solo dengan Rampas yang memukau dewan.
“Ini pelaburan terbesar Rhythm & Rhyme setakat ini.
Alhamdulillah, hasilnya luar biasa,” kata Akim penuh syukur.
Konsert ini turut diserikan artis jemputan seperti Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal dan Dabra Sia serta penampilan istimewa Atu Zero yang mencuit hati penonton.
Dengan 10 pertukaran busana rekaan pereka tempatan, Stacy mencatat sejarah sebagai artis pertama di Malaysia tampil dengan jumlah pertukaran kostum sebanyak itu dalam satu malam.
“Kalau Sabah boleh gegarkan SICC, saya yakin Kuala Lumpur pun kita boleh gegarkan.
Nantikan!” katanya memberi bayangan konsert jelajah ke Semenanjung.
Dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan oleh U Mobile, konsert ini adalah bukti bahawa Stacy bukan sekadar bintang pop, tetapi ikon seni tanah air. – BOOM!










