Selebriti terkenal dunia termasuk Bella Hadid, Pedro Pascal dan beberapa artis lain menyertai konsert amal Artists For Aid yang diadakan di Los Angeles pada 10 Januari lalu.

Konsert tersebut dianjurkan bagi menyokong bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza di Palestin dan Sudan yang terkesan akibat konflik berpanjangan.
Los Angeles Times melaporkan malam berkenaan berjaya mengumpul dana sebanyak AS$5.5 juta (RM22 juta) yang akan disalurkan kepada Persatuan Doktor Amerika Sudan serta Dana Bantuan Kanak-Kanak Palestin.
Kira-kira 20 artis dan penghibur bergabung tenaga bersama ribuan hadirin yang membeli tiket sebagai tanda solidariti terhadap mangsa peperangan.
Antara persembahan yang dipersembahkan termasuk lagu 69 Love Songs.

Bella Hadid dalam ucapannya menegaskan identiti keluarganya dari Palestin, menghormati warisan bapanya dan menyatakan solidariti mendalam bersama rakyat Palestin yang hadir pada malam tersebut.
“Saya dibesarkan dengan mengenang negara yang telah ditinggalkannya. Dia membawa Palestin bersamanya ke dalam khalayak ramai ini malam ini. Setiap rakyat Palestin di sini adalah sebahagian daripada hati bapa saya, sebahagian daripada hati keluarga Hadid,” katanya dipetik Good Good Good.

Pedro Pascal pula menegaskan penderitaan global saling berkait, menyeru empati bersama terhadap mangsa konflik dan mereka yang kehilangan rumah serta keselamatan.
“Sebaik sahaja anda melihatnya, mustahil untuk mengalihkan pandangan. Dari Sudan ke Palestin, semua penderitaan kita saling berkait dan pencarian rumah kita saling melengkapi,” katanya. -BOOM!









