Siri televisyen Harry Potter terbitan HBO Max disifatkan sebagai acara penstriman terbesar dalam sejarah HBO Max, malah berpotensi mencipta fenomena terbesar dalam landskap penstriman global, menurut Ketua Penstriman Warner Bros. Discovery (WBD) dalam satu kenyataan di London hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Penstriman Global serta Permainan di Warner Bros. Discovery, J.B. Perrette memberitahu media semasa acara pelancaran HBO Max di London bahawa siri itu bukan sahaja penting untuk perkhidmatan, tetapi untuk dunia penstriman secara keseluruhan.
“Penerbit (Harry Potter) David Heyman, akan memberitahu anda tentang skop produksi, perincian serta ketelitian luar biasa yang sedang mereka lalui dan bina.
“Ia membawa pengalaman sinematik ke satu tahap yang sama sekali berbeza.
“Dalam bentuk siri, anda boleh meneroka dengan lebih mendalam dan menceritakan lebih banyak elemen yang tidak sempat dirakam dalam filem berdurasi dua jam.
“Casey (Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kandungan HBO dan HBO Max, Bloys) tidak gemar saya menyatakan perkara ini, tetapi saya benar-benar percaya ini adalah acara penstriman terbesar dekad ini,” katanya dipetik Deadline.

HBO Max dijadualkan dilancarkan di United Kingdom dan Ireland pada 26 Mac ini sekali gus melengkapkan peluasan perkhidmatan penstriman itu di Eropah.

Perret berkata, siri Harry Potter terbitan Warner Bros. Television, HBO Entertainment, Brontë Film & TV dan Heyday Films dijangka ditayangkan tahun depan dan tanpa ragu lagi akan menjadi antara pelancaran siri paling signifikan di peringkat global pada 2027.
“Pasukan kami telah lama menantikan peluang untuk membawakan projek ini ke pasaran yang sebesar dan sepenting UK,” katanya.

Beliau menambah, ia bakal menjadi acara penstriman terbesar dalam sejarah HBO Max dan mungkin juga dalam sejarah penstriman secara keseluruhan.
Dominic McLaughlin membawakan watak Harry Potter manakala Arabella Stanton sebagai Hermione Granger dan Alastair Stout sebagai Ron Weasley. Pelakon veteran seperti John Lithgow dan Nick Frost juga akan muncul dalam watak utama. -BOOM!










