Penyanyi terkenal, Shila Amzah, mencetuskan kekecohan di media sosial selepas mendedahkan bahawa dirinya ‘diserang’ oleh seorang artis legenda ketika latihan Konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr. DIY.
Pendedahan itu mencetuskan pelbagai spekulasi apabila netizen mula meneka nama-nama besar seperti Datuk Amy Search, Datuk Awie dan Ella, memandangkan mereka turut membuat persembahan di konsert yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur malam ini.

“Adakah Amy, Awie atau Ella, cepatlah nak tahu!”
“Industri ini kecil saja, artis legenda yang mana satu?” antara reaksi netizen.
Bagaimanapun, segelintir pihak berpendapat isu itu mungkin hanyalah gimik promosi konsert bagi menarik perhatian orang ramai.
“Ini semua marketing agaknya. Supaya ramai datang konsert,” tulis seorang pengguna media sosial.
Dalam perkembangan terkini, polis mengesahkan menerima laporan rasmi daripada Shila Amzah berhubung insiden tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, laporan itu telah dibuat pada Khamis jam 5.31 petang.
“Pihak polis mengesahkan menerima laporan daripada penama Nurshahila Amir Amzah berhubung kejadian yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Sementara itu, menerusi satu hantaran di Instagram, Shila turut berkongsi keadaannya selepas insiden terbabit.
“Bangun pagi dengan sakit kepala melampau.
Saya tak tahu bagaimana saya bertahan hari ini,” luahnya.
Shila sebelum ini menyatakan dirinya mengalami kebimbangan melampau (anxiety) akibat insiden tersebut. – BOOM!









