Penyanyi, komposer dan pelakon berbakat besar, Sharul Kamal, kini melangkah ke fasa baharu apabila secara rasmi bernaung di bawah label ternama, Rocketfuel Entertainment.
Sharul tampil dengan dua buah karya istimewa iaitu single “Emas”, sebuah balada mellow bernuansa rock yang sudah dilancarkan pada 18 Ogos lalu, serta single kedua berjudul “Bayangan”, yang bakal menjadi OST rasmi filem aksi Magik Rompak.
Bagi Sharul, “Emas” adalah simbolik permulaan baharunya.
“Lagu ini saya anggap sebagai satu titik permulaan untuk perjalanan seni saya.
Saya berharap ia dapat menghubungkan saya dengan pendengar yang mencari lagu yang ikhlas serta jujur,” katanya.
Lebih istimewa, lagu “Bayangan” adalah hasil ciptaan Sharul sendiri dengan sentuhan Aepul Roza.
Filem Magik Rompak yang menampilkan Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar akan ditayangkan bermula 11 September 2025.
“Menulis dan merakam ‘Bayangan’ adalah proses yang sangat peribadi buat saya.
Apabila ia dipilih sebagai OST filem berskala besar, saya rasa bangga,” ujar Sharul.

Single “Emas” dan “Bayangan” kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti di Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. – BOOM!









