Presiden AS, Donald Trump akan ‘ponteng’ acara tahunan The Super Bowl kali ini kerana bimbang akan dicemuh penonton, kata Seth Meyers dalam rancangan Late Night.

Meskipun beliau menghadiri Super Bowl 2025 di New Orleans tahun lalu, Trump mengesahkan beliau tidak akan menghadiri Super Bowl LX yang bakal menyaksikan perlawanan antara Seattle Seahawks dan New England Patriots kerana lokasi pilihan NFL, Levi’s Stadium di San Francisco, adalah ‘terlalu jauh.’
Namun, pengacara Late Night, Seth Meyers tidak yakin dengan alasan yang diberikan itu dan mengesyaki pasti ada sebab lain mengapa Trump memilih untuk tidak hadir.
“Memandangkan Trump memang meminati bola sepak dan gemarkan perhatian, ramai menjangkakan dia akan hadir ke Super Bowl Ahad ini, apatah lagi dia hadir pada Super Bowl tahun lalu,” katanya dalam monolog pembuka rancangan itu.

Selepas Meyers mengulang alasan Trump kepada penonton studio, hos itu mempertikaikan jawapan diberikan presiden itu secara menyindir.
“Ia terlalu jauh? Anda tahu anda mempunyai pesawat sendiri, bukan?
“Alasan Trump tidak masuk akal,
“Ini orang yang sama yang telah melakukan beberapa perjalanan ke Timur Tengah dan Asia, tetapi San Francisco terlalu jauh?
Atau kerana mereka tidak akan memberikan anda hadiah bodoh kerana melakukan perjalanan itu? Kerana kita tahu anda suka hadiah bodoh,” katanya.

Meyers turut menunjukkan satu klip di mana Trump dikecam penonton dalam satu perlawanan NFL di Maryland pada November lalu, hal itu sekali gus menyokong teori beliau bahawa presiden terbabit mungkin bimbang akan menghadapi lebih banyak kecaman jika hadir ke perlawanan besar berkenaan.

Meyers turut menegaskan bahawa kedudukan Trump berada pada tahap terendah sejak menjawat kembali jawatan itu Januari lalu dan ini mungkin faktor yang membuat beliau enggan muncul di tempat awam seperti acara sukan utama.
Pun begitu, Trump mendakwa kelmari, bahawa penarafan kelulusannya adalah angka tinjauan tertinggi yang pernah diperolehinya. – BOOM!









