Pengumuman persembahan tunggal anggota Girls’ Generation, Seohyun, di Lotte Concert Hall, Seoul, mengundang kecaman segelintir pihak apabila dia didakwa memanfaatkan status selebriti untuk bermain biola secara solo.

Sejak penampilan sulung sebagai ahli Girls’ Generation, Seohyun kekal aktif sebagai penyanyi, penulis lagu dan pelakon.
The Korea Times melaporkan, pada 14 Januari lalu, agensinya, Kkum Entertainment, mengumumkan Seohyun akan membuat persembahan pada 13 Mac bersama Orkestra Filharmonik Sol, sebuah ensembel yang terdiri daripada pemuzik bukan profesional.
Pengumuman itu menerima reaksi pelbagai warga maya. Ada yang berpendapat muzik klasik merupakan disiplin serius yang memerlukan bakat sejak kecil serta latihan bertahun-tahun.

“Lima bulan belajar main biola… terdapat beberapa perkara yang tidak boleh anda sentuh. Bermain alat muzik klasik adalah bakat semula jadi yang ditemui sebelum usia enam tahun.
Ia bukan sesuatu yang anda boleh cuba begitu sahaja kerana anda mempunyai wang,” tulis seorang pengguna Naver tanpa nama.
Bagaimanapun, Seohyun menegaskan niatnya bukan mengejar kesempurnaan teknikal.

“Daripada kesempurnaan seorang penghibur profesional, saya akan menunjukkan semangat tulen seseorang yang benar-benar menikmati muzik,” katanya.
Pada konsert itu, Seohyun akan mempersembahkan Csardas karya Vittorio Monti, manakala orkestra akan memainkan Simfoni No. 5 Tchaikovsky dan Danzon No. 2 oleh Arturo Márquez. –BOOM!









