Jung Woo Sung dilaporkan telah mendaftarkan perkahwinan dengan kekasihnya yang bukan dari kalangan selebriti.
Pada 5 Ogos, agensi pelakon terkenal Korea Selatan itu, Artist Company, berkata mereka sedang menyemak laporan tersebut.
“Kami sedang mengesahkan laporan berkenaan,” kata wakil syarikat.
Sumber terdekat turut memaklumkan kepada media bahawa Jung dan pasangannya telah pun melengkapkan proses pendaftaran perkahwinan, menjadikan mereka kini pasangan suami isteri yang sah dari segi undang-undang.
Berita ini hadir beberapa bulan selepas kontroversi mengenai anak luar nikah pelakon itu menjadi perhatian ramai.
Pada tahun lalu, seorang influencer, Moon Ga Bi, melahirkan seorang bayi lelaki dan kemudian mengesahkan melalui media sosial bahawa Jung adalah bapa kandung kepada bayi tersebut.

Susulan pendedahan itu, Jung tampil membuat permohonan maaf secara terbuka ketika menghadiri Blue Dragon Film Awards.
“Saya memohon maaf dengan tulus kepada semua yang telah menyokong saya atas segala kekeliruan dan kekecewaan yang berlaku.
Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya dan terus menjalankan tugas saya sebagai seorang bapa.“
Kini dengan berita mengenai perkahwinannya, perhatian ramai kembali tertumpu kepada kehidupan peribadi pelakon berusia 51 tahun itu. – BOOM!
Sumber: AllKPop










