Pasangan selebriti terkenal, Selena Gomez dan Benny Blanco, dilihat semakin serius dalam hubungan mereka apabila dilaporkan telah membeli sebuah rumah agam mewah di Beverly Hills, Los Angeles, dengan harga mencecah USD35 juta (RM155 juta).
Menurut laporan Daily Mail, rumah berkonsep gaya Sepanyol itu dibeli pada Disember tahun lalu iaitu bulan yang sama pertunangan mereka diumumkan.
Kediaman eksklusif ini dilengkapi tujuh bilik tidur dan dua belas bilik mandi, memberikan ruang luas dan selesa buat pasangan ini. Selain itu, hartanah tersebut turut mempunyai perpustakaan, rumah hijau kaca, gim dan kolam renang, menambah lagi elemen kemewahan.
Sebelum ini, Selena sudah memiliki beberapa hartanah lain termasuk sebuah rumah di Encino, Los Angeles, yang dibelinya pada tahun 2020 dengan harga USD5 juta (RM23 juta).
Sebagai info, Selena dan Benny mula bercinta sejak Disember 2023 sebelum mengumumkan pertunangan mereka pada 11 Disember tahun lalu. Dengan pembelian rumah ini, adakah pasangan ini sudah bersiap sedia melangkah ke fasa seterusnya? Sama-sama kita nantikan. – BOOM!