Pada usia 75 tahun, Stevie Wonder membuktikan beliau masih relevan dan bertenaga di pentas.
Terbaharu, jelajah UK beliau menerima pujian hangat daripada pengkritik yang menyifatkan persembahannya sebagai penuh bertenaga dan menghiburkan.

Berbeza dengan rakan seangkatannya seperti Billy Joel dan The Eagles yang kini memperlahankan rentak karier, Stevie Wonder dengan tegas menyatakan beliau tidak pernah terfikir untuk bersara.
“Selagi saya bernafas, selagi jantung saya masih berdegup, masih banyak yang saya boleh lakukan,” jelas legenda Motown ini menerusi temu bual bersama podcast BBC, Sidetracked.
“Saya takkan berhenti dengan anugerah yang sentiasa mengalir dalam diri saya.
Saya suka buat apa yang saya buat. Seorang artis tidak pernah berhenti melukis.
Selagi kita mampu berimaginasi, selagi itu kita akan terus berkarya.”
Dalam masa sama, Stevie Wonder turut mendedahkan beliau masih dalam proses menyiapkan album terbaharu berjudul Through The Eyes Of Wonder, yang pertama kali diumumkan sejak tahun 2008.
Album ini dijangka menampilkan karya berkonsepkan pengalaman beliau sebagai seorang insan yang buta.
Jika direalisasikan, ini bakal menjadi album pertama sejak A Time To Love diterbitkan pada 2005. – BOOM!










