Pempengaruh sensasi, Opai atau nama sebenarnya Aliff Awang, berkongsi detik manis apabila berjaya membawa pulang Anugerah Malaysia Top Achievers 2025 di bawah kategori Kecemerlangan Kepimpinan Dalam Pemasaran Pempengaruh.
Menerusi perkongsian di TikTok, Opai meluahkan rasa bangga dan syukur atas pengiktirafan tersebut, lebih-lebih lagi selepas sering berdepan komen negatif daripada orang ramai sebelum ini.

“Aku diam, aku fokus.
Aku tak lawan dengan mulut, tapi lawan dengan kerja.
Hari ini mereka kena belajar sebut nama aku dengan hormat,” katanya.
Opai turut mengakui perjalanan untuk sampai ke tahap ini bukan sesuatu yang mudah, namun dia tetap berpegang pada prinsip untuk tidak berputus asa.
Suami kepada pelakon Fatin Afeefa itu juga berkata pencapaian ini adalah hasil kerja keras yang tidak pernah berhenti, meskipun sering diperlekehkan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut menzahirkan rasa bangga dan terharu atas kejayaannya, malah ramai memberikan ucapan tahniah dan kata semangat buat Opai. – BOOM!









