Pelakon muda, Muntazar Ghufran, mengakui pernah berdepan masalah kewangan serius sewaktu melalui fasa pertunangan bersama aktres Saidah Kamaruddin, gara-gara terlibat dalam aktiviti trading yang tidak menjadi.
Menurut Muntazar, 22, dia hanya tinggal RM500 sahaja sebelum melamar Saidah, selepas tersalah pilih jalan demi mengejar kekayaan segera.
“Saya memang silap langkah. Saya fikir boleh cepat kaya, tapi akhirnya semua duit habis.
Masa nak bertunang, saya cuma ada RM500 sebab duit banyak lebur dalam trading,” katanya menerusi TikTok.
Pengakuan itu muncul selepas Saidah baru-baru ini mendedahkan bahawa perkahwinan mereka terbatal, antaranya kerana faktor kewangan.
Lebih mengejutkan, dia turut mendakwa bahawa Muntazar telah menggodam akaun TikTok miliknya.
Pasangan ini bertunang pada Mei 2023, namun putus di tengah jalan pada Mac lalu, sekaligus mengejutkan peminat yang mengikuti kisah cinta mereka sebelum ini.
Kini, Muntazar melihat kembali keputusan lamanya sebagai satu pengajaran besar dalam hidup dan kariernya sebagai pelakon muda. – BOOM!










