Penyampai radio Hot FM, Keymi tampil menjawab kecaman netizen yang mempertikaikan kehadirannya ke malam Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) dalam keadaan sarat mengandung.
Menerusi perkongsian di Threads, Keymi atau nama sebenarnya Nurul Kamilia Afiqah Mohd Kamaruzaman, 27, menjelaskan dia bukan sahaja sedang hamil, malah turut berdepan masalah Skoliosis (tulang belakang melengkung) yang menyebabkan kesakitan berpanjangan.

“Saya berada dalam dewan duduk selama lebih dua jam tanpa bangun.
Dari tulang belakang sampai ke tapak kaki terasa sakit yang buat saya nak menjerit, tapi saya diam dan tahan,” jelasnya.
Menurut Keymi, ketika namanya diumumkan di atas pentas, dia terpaksa bangun secara drastik dengan bantuan suami supaya tidak mengganggu kelancaran program.
Lebih menyentuh hati, Keymi turut mendedahkan kisah kehilangan anak pertamanya sebelum ini, serta kesukaran mendapatkan zuriat.
“Atas pentas, suara saya menggigil. Kepala saya teringat kembali ujian kehilangan anak pertama.
Kemudian, saya diuji susah untuk dapatkan zuriat. Saya sebak.
Tak sangka sebesar ini hadiah Allah untuk saya.”

Mengakhiri perkongsian tersebut, Keymi turut menitipkan doa agar individu yang mengkritiknya diberi kesihatan dan dipermudahkan segala urusan. – BOOM!










