Pelakon Anna Jobling mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila namanya tercalon dalam kategori Outstanding Asian Star mewakili Malaysia di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 yang bakal berlangsung pada 2 Oktober depan.
Menurut laporan Kosmo! Online, Anna, 25, mengakui terkejut namun bersyukur kerana wataknya sebagai Nur Cahaya dalam drama bersiri TV3 Hai Cinta, Dengarkanlah telah membuka jalan hingga ke pentas antarabangsa.

“Saya benar-benar terkejut dan terharu. Ini satu penghormatan besar, bukan sahaja untuk saya malah pasukan Hai Cinta, Dengarkanlah.
“Sokongan keluarga, rakan sepasukan dan peminat menjadi inspirasi saya. Saya berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia,” katanya.
Anna menegaskan pencalonan tersebut bukan hanya sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya peluang mengangkat nama negara di mata dunia.
“Saya sangat berterima kasih dengan pengiktirafan ini yang juga kebanggaan buat diri saya, Malaysia dan TV3 yang sentiasa mendukung karya seni tempatan.
“Saya akan sentiasa lakukan yang terbaik dalam kerjaya untuk membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Majlis SDA 2025 yang akan berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul merupakan acara berprestij yang menghimpunkan bintang Asia dari Korea Selatan, Jepun, China, Thailand, Filipina dan banyak lagi.
Pemenang bagi kategori tersebut bakal ditentukan menerusi undian global peminat melalui aplikasi IDOL CHAMP.
Untuk rekod, tahun lalu Malaysia mencatat sejarah apabila pelakon Siti Saleha diumumkan sebagai penerima trofi dalam kategori sama. – BOOM!









