Pelakon muda berbakat, Puteri Balqis meluahkan kekecewaan terhadap kecaman dan hinaan segelintir netizen yang memperlekeh kehidupannya serta keluarganya hanya berdasarkan penampilan luar.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Balqis menyentuh soal kemunafikan individu yang kelihatan ‘soleh’ di luar, namun lantang menghina kesusahan orang lain di media sosial.
“Tidak ada logiknya perempuan bertudung, lelaki berjubah di dunia seperti kamu, yang mengetawakan kemiskinan orang lain, mengharapkan kejatuhan orang lain,” tulisnya tegas.
Balqis turut berkongsi pengalaman dilabel ‘pelik’ kerana tidak mengikut norma masyarakat, termasuk memelihara anjing dan bertatu.
Namun, katanya, kesetiaannya terhadap keluarga tidak pernah berubah.
“Satu kami buat, 10 kejahatan Muslim seperti kamu buat di dunia.
Tapi kejahatan sifat, lidah, jari jemari kamu tertutup dan tertipu dengan zahir yang nampak baik,” tambahnya lagi.
Lebih menyedihkan, kata Balqis, ada yang menghina mangsa dera dan ibu tunggal hanya kerana mereka tidak hidup mengikut acuan masyarakat yang ‘sempurna’.
Beliau menyifatkan sikap gemar menghukum itu menjadi punca utama permusuhan dan kejahatan yang berlaku dalam masyarakat.
“Kematian itu plot twist sebenar kepada manusia-manusia yang pernah dihina dan dizalimi.”
Luahannya nyata mendapat perhatian ramai yang tampil memberikan sokongan dan memahami luka yang cuba disuarakan oleh Puteri Balqis. – BOOM!









