Bintang Bollywood terkenal, Salman Khan, sekali lagi menjadi sasaran ugutan maut apabila satu mesej mengerikan diterima melalui WhatsApp rasmi Jabatan Trafik Mumbai pada pagi Isnin.
Dalam mesej tersebut, individu tidak dikenali mendakwa mereka akan masuk ke rumah pelakon itu dan membunuhnya, selain turut mengugut untuk meletupkan keretanya dengan bom.
Polis Mumbai telah membuka kertas siasatan dan sedang giat mengesan identiti pengirim mesej tersebut.
Salman yang kini menetap bersama keluarganya di Galaxy Apartments, Bandra, pernah beberapa kali menjadi sasaran ancaman serupa sebelum ini.
Tahun lalu, penembak dari kumpulan Bishnoi melepaskan tembakan ke arah kediaman Salman, menyebabkan tahap keselamatan di sekeliling rumahnya diperketat.
Ini merupakan ugutan kelima terhadap nyawa pelakon itu dalam tempoh dua tahun.
Menurut sumber, pihak polis sebelum ini turut membongkar rancangan pembunuhan terhadap Salman di ladang miliknya di Panvel.
Penembak upahan dipercayai mengekori pergerakannya dengan niat untuk membunuh.
Polis kini mengambil langkah keselamatan serius dan menyiasat dari semua sudut, bagi memastikan keselamatan bintang terkenal itu serta ahli keluarganya, termasuk bapanya, Salim Khan, yang turut pernah menerima ugutan sebelum ini. – BOOM!