Pelakon dan bekas anggota kumpulan Good Day, Ryu Ji-won, mendedahkan beliau kini sedang berjuang melawan penyakit leukemia sejak tiga bulan lalu.
Menerusi hantaran di media sosial pada Rabu, Ji-won berkata dia didiagnosis secara mengejut selepas dimasukkan ke hospital tanpa menyedari puncanya.

“Sudah tiga bulan berlalu sejak saya disahkan menghidap leukemia.
Rawatan pertama dan kedua telah selesai dengan selamat, dan kini saya sedang menjalani rawatan ketiga,” katanya.
Ji-won mengakui pada awalnya dia enggan dihubungi sesiapa dan berasa terperangkap dalam keadaan sukar, namun keprihatinan keluarga, rakan dan orang tersayang memberinya semangat baharu.
“Masih ada satu ‘gunung besar’ iaitu pemindahan sel stem hematopoietik.
Saya mahu segera melaluinya, sembuh, dan kembali lebih sihat daripada sebelum sakit,” ujarnya.
Bersama kenyataan itu, Ji-won turut memuat naik foto dirinya di hospital memakai pakaian pesakit dan topeng, dengan rambut yang gugur akibat rawatan serta wayar IV kelihatan jelas.


Ryu Ji-won debut bersama kumpulan Good Day pada 2017 dan baru-baru ini membintangi drama The Fine Arts Scandal di Disney+. – BOOM!









