Penyanyi terkenal, Rossa, bakal tampil berduet dengan penyanyi muda, Bernadya, dalam konsert solonya yang bertajuk Here I Am, pada 23 Mei 2025 di Indonesia Arena, Senayan.
Dalam sidang media di Plaza Indonesia, Jakarta Pusat, Rossa mengakui bahawa dia sendiri gemar mendengar lagu-lagu Bernadya, terutama ketika berasa sedih.
“Kali ini saya mengundang teman yang ceritanya sama dengan saya, contohnya Bernadya. Kalau orang dengar Rossa, Rossa dengar Bernadya,” katanya sambil tersenyum.
Menurut laporan Grid.ID, Rossa turut berseloroh bahawa sebagai pemuzik, dia memang sering merasa “down” dan menjadikan lagu-lagu Bernadya sebagai peneman.
“Kalau lagi down, saya dengar lagunya. Kebetulan saya pemusik, jadi sering down,” katanya sambil ketawa.
Walaupun teruja, Rossa masih merahsiakan lagu apa yang bakal mereka bawakan bersama. Tambah Rossa, dia berasa sangat gembira kerana Bernadya menerima undangannya dengan penuh semangat.
“Saya sendiri yang merasa happy, karena pas dengar lagunya, saya rasa, ‘wah, ini kayak cerita hidup saya‘,” katanya lagi.
Selain Bernadya, Rossa juga akan berkolaborasi dengan nama-nama hebat lain seperti Jemimah, Rimar, Awdella, Syarla, Yura Yunita, Dipha Barus, dan JKT48 dalam konsert istimewa ini. – BOOM!