Anggota kumpulan K-pop Blackpink, Rosé, mendedahkan dia pernah menyamar antaranya menjadi nenek, demi merahsiakan hubungannya cintanya ketika itu daripada paparazzi.

Pengakuan itu dibuat ketika Rosé muncul dalam podcast popular Amerika Syarikat, Call Her Daddy, pada 28 Januari lalu.
Dalam perbualan bersama pengacara Alex Cooper, Rose mengakui dirinya sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelakkan imejnya dirakam bersama bekas teman lelaki ketika mereka berjanji temu.
“Saya betul-betul cuba segala-galanya. Saya selalu paranoid kerana fikir kalau kami tertangkap, semuanya akan berakhir,” katanya sambil berseloroh.

Rosé turut berkongsi pengalamannya apabila dia membeli rambut palsu pendek dan keriting, sebelum penyamarannya sebagai seorang nenek lengkap dengan pakaian dan beg tangan.
“Saya memerhati wanita-wanita tua di jalanan, cara mereka berjalan dan berpakaian. Kemudian saya pergi ke rumah teman lelaki saya seperti itu,” katanya.

Lebih mengejutkan, Rosé mendedahkan penyamaran tersebut dilakukan selama enam bulan, sehingga suatu hari dia terserempak dengan seorang nenek sebenar yang memakai pakaian sama seperti miliknya.

Selain kisah lucu itu, Rosé turut berkongsi sisi emosi kehidupannya dalam percintaan.
“Saya sering kecewa, tetapi ada seorang yang tidak pernah mengecewakan saya,” katanya jujur.
Mengulas status hubungannya kini, Rosé mengakui dia masih mencari cinta dan berharap orang ramai melihatnya sebagai manusia biasa, bukan sekadar idola K-pop. – BOOM!









