Pelakon dan penerbit legenda Hollywood, Robert De Niro bakal menerima penghormatan tertinggi di Festival Filem Cannes 2025 apabila diumumkan sebagai penerima Palme d’Or Kehormat sempena pembukaan rasmi festival ke-78 itu.
Menurut The Hollywood Reporter, anugerah berprestij itu akan disampaikan pada 13 Mei 2025, iaitu tepat 14 tahun selepas De Niro menjawat jawatan Presiden Juri Cannes pada 2011.
Pelakon pemenang dua Anugerah Oscar itu mempunyai hubungan panjang dengan Festival Cannes.
Pada tahun 1976, beliau terlibat dalam dua filem terpilih – 1900 arahan Bernardo Bertolucci dan Taxi Driver oleh Martin Scorsese, yang berjaya merangkul Palme d’Or.
Antara karya-karya beliau yang pernah membuka atau bertanding di Cannes termasuk The King of Comedy (1983), Once Upon a Time in America (1984), dan The Mission (1986), yang turut memenangi Palme d’Or.
Kali terakhir beliau muncul di Cannes adalah pada tahun 2023 menerusi filem Killers of the Flower Moon, juga arahan Martin Scorsese.
“Saya mempunyai perasaan yang sangat dekat dengan Festival de Cannes,” kata De Niro dalam satu kenyataan.
Selain menerima penghormatan khas ini, De Niro juga dijadualkan mengadakan sesi masterclass khas bersama para hadirin festival pada 14 Mei di Debussy Theatre.
Festival Filem Cannes ke-78 bakal berlangsung dari 13 hingga 24 Mei 2025. – BOOM!