Festival Filem Cannes ke-78 bermula penuh gaya dan mesej politik apabila aktor legenda, Robert De Niro menerima Palme d’Or Kehormat yang disampaikan oleh rakan lakonannya dalam filem Killers of the Flower Moon, Leonardo DiCaprio.
Namun yang mencuri perhatian bukan sekadar anugerah, tetapi ucapan berani De Niro yang menyentuh isu seni, demokrasi dan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Di negara saya, kami sedang berjuang habis-habisan untuk mempertahankan demokrasi yang dahulu kami anggap remeh,” ujar De Niro.
“Seni itu bersifat demokrasi. Ia inklusif, menyatukan manusia dan meraikan kepelbagaian. Itulah sebab seni dianggap ancaman oleh para autokrat dan fasis,” tambahnya lagi.
Aktor berusia 81 tahun itu turut mengkritik tindakan Trump yang mengumumkan rancangan mengenakan tarif 100% terhadap filem luar negara.
@brutamerica Robert De Niro shared a strong message against Donald Trump’s tariff policies on art and cinema. #cannes2025 ♬ original sound – Brut.
“Presiden Amerika yang ‘philistine’ itu telah melantik dirinya sendiri sebagai ketua salah satu institusi budaya utama kami.
Dia memotong dana untuk seni, kemanusiaan dan pendidikan… Kini dia mahu kenakan tarif 100% ke atas filem luar. Anda tak boleh letak harga pada kreativiti, tapi nampaknya anda boleh kenakan tarif ke atasnya,” tambahnya.
De Niro turut menyeru semua pencinta kebebasan untuk bersuara menentang Trump, sambil menyelar pentadbirannya yang menurut beliau “mengancam bukan saja dunia seni, tetapi nilai-nilai demokrasi.”

Pengumuman tarif filem asing oleh Trump pada 4 Mei itu bagaimanapun belum dimuktamadkan, malah jurucakap White House memaklumkan bahawa pentadbiran sedang “meneroka semua pilihan” dan belum membuat keputusan rasmi. – BOOM!










