Walaupun sedang menjalani latihan ketenteraan, vokalis utama BTS, RM atau nama sebenar Kim Nam Joon, membuktikan auranya masih kuat apabila diumumkan sebagai pemenang Artis Kpop Kegemaran di American Music Awards (AMA) 2025.
Apa yang lebih membanggakan, RM yang kini berusia 31 tahun berjaya menewaskan calon hebat lain seperti Jimin, Ateez, Rose Blackpink dan Stray Kids.

Kemenangan ini sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara ikon Kpop paling berpengaruh dunia, walaupun sudah lama tidak tampil dengan lagu baharu.
“RM kekal menjadi pilihan peminat walaupun tanpa kemunculan aktif sejak kebelakangan ini.
Ia satu bukti kuat pengaruhnya dalam industri global,” ujar kenyataan AMA.
Anugerah berprestij itu berlangsung di Hotel Fontainebleau, Los Angeles, namun RM tidak dapat hadir kerana masih terikat dengan komitmen latihan ketenteraan yang dijangka tamat Jun ini.

Menariknya, ini merupakan kali kedua kategori Artis Kpop Kegemaran dianugerahkan sejak AMA kembali dianjurkan tahun ini selepas tergantung selama dua tahun. Sebelum ini, trofi itu dimenangi BTS pada tahun 2022.
Sementara itu, penyanyi popular Billie Eilish menguasai pentas AMA 2025 apabila membawa pulang tujuh trofi, termasuk Lagu Terbaik, Album Terbaik dan Artis Terbaik. – BOOM!









