Pelakon Datuk Remy Ishak mengalami keretakan tulang rusuk di set penggambaran filem di Kota Tinggi, Johor, awal pagi semalam.

Perkara itu dimaklumkan pengurus Remy, Azlin Abas melalui Instagramnya.
“Salam. Untuk maklumat Remy Ishak mengalami keretakan tulang rusuk akibat insiden kecil di set penggambaran.
“Dia sedang menerima rawatan yang sewajarnya dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Difahamkan, Remy telah menjalani imbasan di sebuah hospital dan akan meneruskan pemeriksaan lanjut di hospital swasta bagi memastikan keadaannya benar-benar selamat sebelum meneruskan penggambaran.

Isteri Remy, Ezza Yusof menerusi Threads juga turut memohon doa orang ramai agar suaminya berada dalam keadaan baik selepas terlibat dalam insiden berkenaan.
“Doakan suami saya Remy Ishak yang mengalami kemalangan di set.
“Semoga cepat sembuh agar dia boleh bekerja semula,” tulisnya. – BOOM!










