Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan meluahkan perasaan kecewa apabila dua kali menjalani rawatan intrauterine insemination (IUI) namun masih belum dikurniakan rezeki untuk bergelar ibu.

Menurut beliau, dia menyangka tahun lalu akan membawa khabar gembira untuk kehamilan namun perancangan itu belum menjadi kenyataan.
“Agak kecewa sedikit sebab saya ingat tahun ini (2025) boleh mengandung tapi masih belum ada rezeki anak. Dua tahun saya cuba tapi gagal. Tidak mengapa, kena tunggu tahun 2026,” katanya dipetik mStar.

Elizabeth menjelaskan, dia dan suami sudah merancang langkah seterusnya untuk meneruskan proses Persenyawaan In Vitro (IVF) jika usaha IUI tetap gagal menunjukkan hasil positif.
“Saya dan suami berbincang sekiranya bulan Jun (tahun ini) masih tidak berjaya maka akan lakukan rawatan IVF,” katanya.

Walaupun berdepan kekecewaan, Elizabeth reda dan percaya kepada ketentuan Tuhan.
“Saya anggap mungkin belum rezeki untuk ada anak. Jika ada anak nanti sukar untuk saya jalani penggambaran. Saya ada tiga penggambaran pada tahun ini (lalu),” katanya.

Pasangan ini merancang untuk menjalani rawatan IVF sekitar pertengahan 2026 demi impian menimang cahaya mata. -Boom!









