Raja K-Pop kembali! G-DRAGON, nama yang tidak asing lagi dalam dunia muzik global, kini bersedia menggegar pentas Malaysia menerusi G-DRAGON 2025 WORLD TOUR [Übermensch], yang akan berlangsung selama dua malam pada 19 dan 20 Julai 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selepas kejayaan luar biasa persembahan pembukaannya di Seoul yang menghimpunkan lebih 60,000 peminat, fenomena ini kini bakal menyinari Kuala Lumpur.
Detik yang paling dinanti oleh para FAMs akhirnya menjadi kenyataan.
Dibawakan oleh Hong Leong Bank, dan dipromosikan oleh AEG Presents, TME live, Star Planet dan Top-top Production, konsert ini dijangka menjadi antara yang paling epik tahun 2025.
Jualan tiket umum akan bermula pada 29 Mei 2025, jam 2 petang, manakala ahli G-DRAGON OFFICIAL MEMBERSHIP boleh mendapatkan akses awal pada 26 Mei 2025 dari jam 4 petang hingga 11:59 malam.
Bukan sekadar konsert biasa, G-DRAGON menjanjikan persembahan luar biasa dengan gabungan visual seni, muzik bertenaga tinggi dan fesyen avant-garde yang menjadi identitinya.

Peminat boleh menjangkakan reimaginasi lagu-lagu ikonik serta pengalaman visual yang memukau dari awal hingga akhir.
G-DRAGON telah mencetuskan sensasi pada tahun 2024 apabila beliau muncul semula dengan single terbaharu bertajuk “POWER”, menandakan permulaan bab baharu dalam kariernya yang penuh inovasi.
Kemudian, beliau melancarkan album solo ketiganya, Übermensch, yang mengandungi lapan lagu asli dan terus mendaki ke puncak carta muzik utama sejurus ia dilancarkan.

Setiap karya G-DRAGON bukan hanya sekadar muzik, tetapi revolusi artistik. Beliau sentiasa menolak sempadan kreativiti, menggabungkan gaya peribadinya dengan inovasi luar jangka.
Kini, dengan album dan konsert ‘Übermensch’, G-DRAGON membuktikan bahawa beliau masih kekal sebagai ikon budaya dan kuasa besar dalam industri muzik global.
Untuk maklumat terkini dan berita eksklusif mengenai konsert G-DRAGON, layari laman rasmi starplanet.com.my. – BOOM!










