Polis mengesahkan wanita warga Jepun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya pada Jumaat lalu adalah isteri kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridz Okumura.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan menyeluruh tetap dijalankan, termasuk dari sudut jenayah.
“Walaupun mati mengejut, siasatan kita sama, kita akan melihat sama ada wujud unsur jenayah, tindakan sendiri atau sebagainya.
“Jika dikesan ada unsur jenayah, baru kita klasifikasikan semula kes ini di bawah kesalahan jenayah. Jadi, saya minta orang ramai tidak memberi sebarang komen negatif terhadap kes ini tanpa mengetahui sebarang kesahihan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Menurutnya, polis juga sudah mengambil keterangan Ridz Okumura bagi membantu siasatan.
Terdahulu, usahawan itu berkongsi di media sosial mengenai pemergian isterinya dan meninggalkan beliau bersama anak lelaki mereka, Sky Taizo Okumura.
Pada 28 Februari lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, memaklumkan seorang wanita warga Jepun berusia 50-an ditemukan maut dalam keadaan tertiarap di atas tanah.
“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah membabitkan insiden itu,” katanya.
Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – BOOM!
Sumber: Berita Harian