Tom Holland mencuri perhatian apabila melawat tunangnya, Zendaya di set penggambaran drama popular Euphoria. Menerusi beberapa gambar eksklusif yang dikongsikan oleh People, Tom kelihatan santai meluangkan masa bersama Zendaya di luar trelernya.
Ini merupakan penampilan pertama pasangan ini sejak berita pertunangan mereka mencetuskan sensasi sekitar Januari lalu. Tom dan Zendaya mula menjalinkan hubungan ketika penggambaran filem Spider-Man: Far from Home.
Tom Holland and Zendaya spotted on the ‘Euphoria’ set in Los Angeles recently pic.twitter.com/Oj0lsBJ0j7
— best of tom holland (@thollandrchive) April 26, 2025
Dalam salah satu gambar, Zendaya dilihat memegang minuman sambil berdiri di hadapan Tom. Zendaya tampil kasual dengan sweatshirt putih dan seluar sukan coklat, manakala Tom mengenakan sweatshirt krim, jeans hitam dan topi merah. Menariknya, Tom turut mendukung anjing kesayangan Zendaya, Noon.
Difahamkan, pasangan ini bertunang selepas Tom melamar Zendaya dalam sebuah majlis keluarga pada Januari. Pada acara Golden Globes lalu, perhatian ramai tertumpu kepada Zendaya yang anggun memperagakan cincin berlian pertunangannya.

Zendaya dan Tom pertama kali bertemu pada 2016 ketika penggambaran Spider-Man: Homecoming.
Selepas pelbagai spekulasi, hubungan mereka disahkan secara rasmi pada 2021 apabila mereka dirakam berciuman di khalayak ramai.
Sejak itu, pasangan ini sering tampil bersama di acara-acara besar dan sentiasa menyokong karier masing-masing. – BOOM!