Personaliti televisyen realiti terkenal, Bethenny Frankel, mendedahkan beliau mengalami jangkitan bakteria pada wajah selepas pulang daripada percutian Tahun Baharu di St. Barths, Perancis.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Bethenny menerusi satu hantaran di platform TikTok yang memaparkan keadaan ruam pada mukanya.
Menerusi video tersebut, bekas bintang The Real Housewives of New York City itu menulis bahawa beliau terpaksa meninggalkan St. Barths lebih awal dan pulang dengan masalah kesihatan yang tidak dijangka.
“POV: anda tinggalkan St. Barths tiga hari lebih awal dan pulang dengan jangkitan bakteria,” tulisnya pada kapsyen video di Tiktok.
@bethennyfrankel Allergic to St. Barths #bye ♬ original sound – Bethenny Frankel
Bethenny turut menyertakan satu lagi kapsyen ringkas yang berbunyi,
“Alahan kepada St. Barths,” sekali gus mencuri perhatian pengikutnya di media sosial.

Bethenny, 55, dilaporkan bercuti bersama anak perempuannya, Bryn Hoppy, yang kini berusia 15 tahun.
Selain berkongsi keadaan kesihatannya, beliau turut meluahkan pandangan mengenai suasana di St. Barths ketika sambutan Tahun Baharu yang disifatkannya sangat sesak dengan kehadiran ramai individu terkenal dan golongan elit.

Dalam beberapa hantaran lain di media sosial, Bethenny menjelaskan percutian tersebut tetap meninggalkan kenangan bermakna walaupun tidak berjalan seperti yang dirancang.
Beliau turut berkongsi bahawa detik-detik bersama anak dan rakan terdekat menjadi antara pengalaman paling bernilai sepanjang tempoh percutian tersebut. -Boom!










