Penyanyi legenda Amerika Syarikat, Connie Francis yang popular menerusi lagu Pretty Little Baby meninggal dunia pada usia 87 tahun pada Rabu (waktu tempatan).
Berita duka itu disahkan sahabatnya yang juga Presiden Concetta Records, Ron Roberts, menerusi satu hantaran di Facebook.

“Dengan hati yang amat berat dan kesedihan mendalam, saya ingin memaklumkan tentang pemergian sahabat tersayang saya, Connie Francis, malam tadi,” katanya.
Difahamkan, penyanyi era 60-an itu baru-baru ini menerima rawatan akibat patah tulang pelvis dan turut didiagnos jangkitan kuman dalam paru-paru (pneumonia) ketika dirawat di hospital.
Kematian Connie Francis dimaklumkan hanya dua minggu selepas dia dimasukkan ke hospital susulan kesakitan serius yang dialaminya.
Pada 4 Julai lalu, sempena Hari Kemerdekaan AS, mendiang sempat memaklumkan keadaannya semakin baik selepas mendapat rehat mencukupi.
Namun, dua hari selepas itu dia dimasukkan semula ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut berhubung kesakitannya.
Nama Connie Francis kembali menjadi bualan generasi baharu apabila lagu Pretty Little Baby yang dirakam pada 1962 kembali tular menerusi TikTok, lebih enam dekad selepas ia diterbitkan.

Selain itu, Connie Francis turut dikenali menerusi lagu popular lain seperti Stupid Cupid dan Who’s Sorry Now. – BOOM!









