Industri hiburan Korea dikejutkan dengan berita pemergian pelakon veteran Song Young Kyu yang ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah kenderaan.
Menurut kenyataan rasmi pihak polis dari Balai Polis Yongin Dongbu, mayat Song dijumpai dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan kediaman di Cheoin-gu, Yongin sekitar jam 8 pagi, 4 Ogos.

Penemuan tragik itu berlaku selepas seorang wanita membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian serta keadaan sekeliling yang mencurigakan.
Pemergian Song Young Kyu berlaku kira-kira sebulan selepas dia mencetuskan kontroversi apabila terlibat dalam kes memandu dalam keadaan mabuk.
Pada 19 Jun lalu, beliau dilaporkan memandu sejauh 5 kilometer dari Giheung-gu ke Cheoin-gu selepas minum bersama rakan-rakan.
Ketika ditahan, bacaan alkohol dalam darahnya melebihi 0.08%, sekali gus membawa kepada pembatalan lesen memandunya. Kes itu telah dihantar ke pejabat pendakwa tanpa penahanan.
Song Young Kyu, yang berusia 55 tahun, dikenali ramai menerusi pelbagai drama dan filem Korea, meninggalkan kesan mendalam kepada para peminat serta rakan industri. – BOOM!










