Pelakon popular Korea Selatan, Lee Si Young mengejutkan peminat apabila mengumumkan dirinya kini sedang hamil. Namun, ianya bukan dengan pasangan baru, sebaliknya menggunakan embrio beku hasil perkahwinannya yang terdahulu.
Menerusi satu hantaran Instagram, Si Young mendedahkan kehamilannya adalah hasil daripada prosedur implantasi embrio beku yang telah disimpan sejak lima tahun lalu ketika masih bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan dikenali sebagai “A”.
Pasangan itu pada asalnya bercadang untuk mendapatkan anak kedua ketika masih berkahwin, namun berpisah kerana perbezaan yang tidak dapat disatukan.
Mereka telah pun bercerai secara rasmi pada Mac lalu selepas mengumumkan perpisahan di Mahkamah Keluarga Seoul.
Menurut Si Young, keputusan untuk meneruskan implantasi dibuat secara bersendirian apabila tarikh luput penyimpanan embrio itu semakin hampir.
“Saya tidak sanggup membuangnya, jadi saya membuat keputusan ini seorang diri.”
“Walaupun bekas suami tidak bersetuju, saya bersedia menanggung segala akibat atas pilihan saya,” tulis Lee di Instagram.
Bekas suaminya, “A”, dalam kenyataan kepada media berkata walaupun tidak memberikan keizinan, beliau akan memikul tanggungjawab sebagai bapa.
“Dia membuat keputusan untuk hamil walaupun saya tidak bersetuju.
Tapi kini anak kedua bakal lahir, saya akan lakukan yang terbaik sebagai seorang ayah.”
“Kami telah pun bekerjasama dalam membesarkan anak sulung, dan akan terus berkomunikasi untuk anak yang akan datang,” katanya.

Pasangan ini berkahwin pada September 2017 dan mempunyai seorang anak lelaki, Jung Yoon. – BOOM!










