Pelakon, Pablo Amirul, 41, kini menjadi perhatian apabila beliau mendedahkan bersedia menjadi house husband selepas berkahwin dengan Dr Hana Rose pada 2 Februari ini.

Beliau menjelaskan, Dr Hana serta rakan-rakan rapatnya sedia maklum situasi pekerjaannya sebagai pelakon sering kali bergantung kepada tawaran yang diterima.

“Saya tak nafikan kerjaya dalam industri ini untuk saya bukan keluar berlakon drama tiap-tiap bulan. Walaupun saya yang aktif bekerja ini, tetap kena menunggu tawaran berlakon yang datang juga.
“Tawaran berlakon filem pula (diterima) setiap tiga bulan atau empat bulan, okaylah tu. Jadi, kiranya bila masa saya bekerja, saya kerja la.
“Tapi, bila tidak bekerja maka itu adalah masa untuk saya fokuskan kepada keluarga,” katanya dipetik Harian Metro.

Mengulas persiapan perkahwinan, Pablo berkata, bakal isteri yang banyak melakukannya berikutan dia ketika ini begitu sibuk menjayakan penggambaran filem Keranda Tasik Terbang yang dibintangi.
“Sekarang ini, persiapan untuk majlis perkahwinan kami pada 2 Februari ini sudah siap kira-kira 80 peratus dan Dr Hana yang banyak melakukannya kerana saya sekarang sibuk ‘shooting’ filem dari siang ke pagi esoknya,” kata Pablo. -BOOM!









