Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri filem semakin meluas, dan kini, pembikin filem yang ingin bertanding di Oscars perlu mendedahkan jika mereka menggunakan teknologi ini dalam karya mereka.
Menurut laporan Variety, Akademi kini menyediakan borang pendedahan AI secara pilihan, tetapi mereka sedang mempertimbangkan untuk menjadikannya wajib bagi Oscar 2026. Peraturan baharu dijangka diumumkan pada April depan.
Keputusan ini dibuat susulan kontroversi dua filem yang dicalonkan ke Oscars, The Brutalist dan Emilia Perez, yang dikritik kerana penggunaan AI.
The Brutalist menerima kecaman selepas dikatakan menggunakan AI dalam proses pasca-produksi. Pengarahnya, Brady Corbet, menafikan penggunaan AI secara berlebihan dan menegaskan, “Pelakon kami berlatih dengan jurulatih dialek Hungary, dan lakaran bangunan dalam filem ini dibuat secara manual.”
Sementara itu, Emilia Perez menggunakan AI untuk meniru suara pelakon, yang turut mencetuskan perdebatan. Beberapa filem lain seperti A Complete Unknown dan Dune: Part 2 juga dilaporkan menggunakan AI dalam beberapa aspek.
Dengan peraturan baharu ini, tiada lagi rahsia penggunaan AI di Oscars. – BOOM!