Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membebaskan penyanyi sensasi Namewee atau Wee Meng Chee atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Majistret S. Arunjothy memutuskan perkara itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan bahawa keputusan patologi adalah negatif dan pihak pendakwaan telah menarik balik pertuduhan tersebut.
“Mahkamah membebaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut dan wang ikat jamin (RM2,000) dikembalikan,” katanya dipetik Bernama.

Namewee didakwa melakukan perbuatan itu di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah
Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 7.15 malam 22 Oktober lalu.

Mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabit kesalahan, penyanyi itu boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara dua tahun serta pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Bagaimanapun, beliau masih berdepan pertuduhan memiliki dadah disyaki jenis ekstasi seberat 5.12 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini pada 4.30 petang 22 Oktober lalu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, Namewee berdepan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta tidak kurang tiga sebatan dan maksimum sembilan sebatan. -Boom!









