Nama Nadeera kini meledak dalam industri muzik tempatan selepas kejayaannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39). Meskipun bergelar naib juara, persembahan luar biasanya dengan vokal penuh emosi berjaya memikat hati peminat serta pemerhati muzik.
Kejayaan itu diterjemahkan dalam angka apabila lagu ‘Bukan Lagi Kita’ mencipta rekod sebagai lagu paling banyak distrim di Spotify Malaysia, Apple Music Malaysia, YouTube Music Malaysia, serta menduduki tangga teratas muat turun di iTunes Music Malaysia.
Lebih membanggakan, lagu ini menjadi antara tiga lagu artis Malaysia yang pernah mencapai nombor satu di Carta Spotify Malaysia Daily Top Song, bersama Hasrat (Amir Jahari) dan Suasana di Hari Raya (Anuar & Ellina).
Bukan itu sahaja, lagu yang turut menjadi OST drama popular ‘Curang Tanpa Niat’ ini turut menguasai YouTube dengan lebih 5 juta tontonan.
Menjawab kejayaan luar biasanya, Nadeera meluahkan rasa syukur atas sokongan peminat yang tidak putus-putus.
“Saya sangat bersyukur dengan sokongan luar biasa ini. Impian saya untuk berada di pentas AJL sejak dulu akhirnya menjadi kenyataan. Sewaktu berdiri di pentas AJL39, saya hanya mahu menyampaikan lagu dengan sepenuh hati,” katanya.
Tambahnya lagi, melihat reaksi positif daripada semua pihak memberikan semangat untuk terus menghasilkan karya berkualiti.
“Ini baru permulaan. Saya akan terus bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat peminat semua,” ujarnya penuh semangat.
Dengan pencapaian luar biasa ini, Nadeera kini berada dalam kelas tersendiri sebagai artis paling laris di platform digital, sekaligus menjadi inspirasi buat penyanyi-penyanyi muda yang mahu mencipta nama dalam industri muzik tanah air. – BOOM!