Ikon budaya pop global, MTV, akhirnya menamatkan operasi saluran muziknya selepas lebih 40 tahun mencorak dunia hiburan moden.
Syarikat induknya, Paramount Global, mengumumkan penutupan lima saluran muzik popular iaitu MTV Music, MTV 80s, MTV 90s, Club MTV dan MTV Live menjelang 31 Disember 2025.

Keputusan mengejutkan ini dikaitkan dengan perubahan cara penonton menikmati muzik. Jika suatu ketika dahulu MTV menjadi pintu masuk utama artis global melalui video muzik, kini generasi baharu lebih memilih platform digital seperti YouTube, Spotify dan TikTok.
“Kami membesar dengan MTV. Dari sana kami kenal Michael Jackson, Nirvana, Britney Spears — MTV lahirkan bintang,”
luah seorang pengguna di X (Twitter), menggambarkan rasa kehilangan generasi lama.
Kini, yang tinggal hanyalah saluran utama MTV HD, namun fokusnya bukan lagi kepada muzik, sebaliknya program realiti dan hiburan semata-mata.
Ramai peminat lama menyifatkan penutupan ini sebagai tanda berakhirnya satu era keemasan muzik global, ketika video klip bukan sekadar promosi, tetapi simbol budaya dan kreativiti.

Di media sosial, rasa nostalgia dan kekecewaan membanjiri ruang komen apabila ramai berkongsi kenangan menonton video muzik pertama mereka di MTV, termasuk era legenda seperti TRL dan MTV Unplugged.
Walau arah tuju MTV kini telah berubah, legasinya sebagai perintis revolusi video muzik kekal abadi dalam sejarah hiburan dunia. – BOOM!









