Pelakon terkenal Stranger Things, Millie Bobby Brown, 21, mengumumkan dia dan suaminya, Jake Bongiovi, kini bergelar ibu bapa selepas mengadopsi seorang bayi perempuan.
“Musim panas ini, kami menyambut kehadiran anak perempuan manis melalui proses adopsi.
Kami sangat teruja memulakan fasa baru sebagai ibu bapa dengan penuh ketenangan dan privasi,” umumnya di Instagram.
Pasangan itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama bayi mereka, sebaliknya hanya memuat naik gambar sebatang pokok willow sebagai simbolik.
Brown dan Jake, 23, anak kepada penyanyi rock terkenal Jon Bon Jovi, mendirikan rumah tangga 15 bulan lalu ketika aktres itu berusia 20 tahun.
Dalam temu bual bersama podcast Call Her Daddy, Brown berkata keputusan mereka berkahwin muda dipengaruhi contoh kedua-dua ibu bapa masing-masing.
“Kami ada role model yang baik. Kami tidak nampak sebarang perbezaan,” ujarnya.
Kini, pasangan itu tinggal di sebuah ladang bersama pelbagai haiwan peliharaan.
Brown sendiri aktif dalam kerja penyelamatan haiwan melalui pusat perlindungan Joey’s Friends dan pernah menyelamatkan lebih 230 ekor anjing.
Sementara itu, kerjaya lakonan Brown terus berkembang pesat.

Dia baru sahaja menamatkan penggambaran musim terakhir Stranger Things yang bakal ditayangkan pada penghujung 2025, selain membintangi filem Enola Holmes 3, Damsel, The Electric State dan dua filem Godzilla. – BOOM!









