Pelakon Kate Winslet menyalahkan media sosial yang menjadi punca segelintir orang taksub melakukan pembedahan plastik demi mendapatkan tanda suka di Instagram.

Ketika ditemu bual, pelakon Titanic itu berkongsi rasa terkejutnya melihat fenomena tersebut, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Bagi Kate, media sosial mewujudkan idea kesempurnaan palsu yang menyebabkan individu sering takut untuk menjadi diri sendiri.
“Apakah idea kesempurnaan yang diinginkan semua orang? Saya menyalahkan media sosial dan kesannya terhadap kesihatan mental. Oh, ia menakutkan. Saya fikir: Tidak, bukan awak! kenapa?” katanya dipetik The News International.

Kate, 51, berkata, dia juga bukan peminat ubat kurus, justeru menyuarakan kebimbangan apabila seseorang terlalu mengagung-agungkan penampilan mereka.
“Anda sebenarnya tidak tahu rupa orang itu, dari kening, mulut, bulu mata hingga ke rambut, individu tersebut takut untuk menjadi dirinya sendiri.” katanya.

Kate turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah melakukan sebarang pembedahan atau suntikan pada wajahnya, bahkan menyeru orang ramai menyedari bahaya media sosial terhadap imej diri. -Boom!










