Pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga, Irfan Zaini berdepan detik mencemaskan apabila seorang wanita menjadi mangsa serangan peminat fanatik hanya kerana bergambar bersamanya.
Menurut Irfan, 30, insiden mengejutkan itu berlaku ketika dia berada di Kuching, Sarawak bagi mempromosikan filem lakonannya.
“Memang tak dinafikan, sejak nama saya mula dikenali, ada juga peminat yang fanatik,” jelasnya.
Kata Irfan lagi, seorang peminat wanita mendekatinya untuk bergambar. Namun tidak lama selepas itu, mangsa dipukul oleh seorang wanita tidak dikenali ketika berada di tandas awam.
“Paling mengejutkan, peminat tu beritahu penyerang sempat beri amaran – ‘Malik tu milik aku!’,” katanya.
Mangsa kemudiannya menghantar gambar wajahnya yang cedera dan berdarah sebagai bukti kepada Irfan, membuatkan pelakon itu terkedu.
“Bila tengok gambar darah tu, saya terus hilang kata-kata.
Saya cuma mampu pesan supaya dia jaga diri dan buat laporan polis,” katanya pada majlis tayangan drama Honey Trap di ibu kota.
Enggan kejadian itu berulang, Irfan menasihati peminat agar tidak bertindak melulu hanya kerana terlalu mengaguminya.
“Saya hargai semua peminat, tak bermakna siapa ambil gambar tu lebih penting daripada yang lain. Kalau betul sayang saya, jangan sakiti orang lain. Tak perlu tunjuk cinta dengan kekerasan. Saya memang tak sokong keganasan,” tegasnya.
Terbaharu, Irfan akan muncul dalam siri premium Honey Trap terbitan Astro Originals, sebuah thriller perisik wanita berlatarkan dunia politik yang menjanjikan aksi dan emosi mendalam. – BOOM!
Sumber: Kosmo! Online







