Industri hiburan Hollywood dikejutkan dengan berita pemergian pelakon terkenal, Malcolm-Jamal Warner, 54, yang dilaporkan meninggal dunia akibat lemas ketika mandi laut di Costa Rica pada 20 Julai lalu.
Memetik laporan NBC News, kejadian berlaku di Playa Cocles, wilayah Limon, apabila Warner dipercayai dibawa arus deras ke tengah laut sebelum ditemui tidak bernyawa oleh orang awam di pantai.

Warner yang cukup sinonim dengan watak Theodore Huxtable dalam siri popular The Cosby Show (1984), masih aktif dalam industri dan membintangi pelbagai siri televisyen.
Malah, menerusi watak itu, dia pernah dicalonkan Anugerah Emmy bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Siri Komedi pada 1986.
Antara siri lain yang pernah menampilkan bakatnya termasuk Malcolm & Eddie, Reed Between the Lines, 9-1-1, The Resident serta terbaharu, Alert: Missing Persons Unit menerusi watak Ketua Inspektor Bill Houston.
Selain TV, Warner juga aktif di pentas teater dan pernah menghasilkan podcast bertajuk Not All Hood, yang mengetengahkan isu komuniti kulit hitam. – BOOM!










