Pelakon Raja Azura meluahkan rasa lega apabila Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini membenarkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkannya terhadap bekas suami, Adzmin Osman.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Tuan Salehan Yatim selepas berpuas hati dengan penjelasan serta keterangan yang dikemukakan oleh pengacara dan pelakon berkenaan sepanjang prosiding yang berlangsung pagi tadi.
Peguam Syarie Raja Azura, Mohammad Amirul Hanizan, berkata permohonan tersebut melibatkan pelaksanaan perintah mahkamah bertarikh 2010 berkaitan nafkah anak dan nafkah idah yang masih gagal dipatuhi oleh responden sehingga kini.

Menurutnya, selepas meneliti keterangan anak guamnya, mahkamah telah memberi kebenaran kepada pihak defendan untuk memulakan pelaksanaan tuntutan nafkah terhadap responden.
“Apabila sudah mendapat kelulusan mahkamah, kami akan memfailkan saman untuk menyeru responden hadir ke mahkamah dan memaklumkan di hadapan hakim tentang kemampuannya melunaskan tunggakan nafkah serta menjelaskan punca kegagalannya melaksanakan tanggungjawab itu.
Setakat ini belum ada pertemuan antara kedua-dua pihak, namun kami akan berusaha mencari responden dengan apa cara sekalipun. Apabila responden dibawa ke mahkamah, proses tuntutan nafkah akan menjadi lebih mudah,” katanya seperti dipetik Utusan Online.
Pada masa sama, Tuan Salehan menjelaskan jumlah tunggakan nafkah yang mencecah hampir RM1 juta perlu diselesaikan mengikut kaedah pembayaran yang dipersetujui serta dipertimbangkan oleh mahkamah.
“Terdapat kaedah tertentu yang boleh digunakan oleh responden untuk melunaskan tunggakan nafkah berkenaan, namun ia tertakluk kepada perbincangan dan pertimbangan pihak mahkamah,” katanya. -BOOM!









