Selepas kejayaan konsert KRU, syarikat penganjur Icon Entertainment kini bakal menganjurkan Konsert Elite Live ’25 pada 20 September 2025 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pengumuman itu dibuat oleh pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, yang turut mengesahkan kelima-lima anggota asal Elite iaitu Azza, Shasha Saidin, Abby Abadi, Watie Sadali dan Linda Rafar bakal bersatu semula di pentas.
Namun, perhatian netizen kini tertumpu pada harga tiket yang dikatakan agak tinggi, bermula RM268 sehingga RM1,088 untuk pakej Meet & Greet.
Di ruangan komen media sosial, segelintir netizen mempersoalkan harga tersebut memandangkan kumpulan itu sudah lama tidak aktif.
“RM268 paling murah? Elite dah lama senyap, boleh nyanyi lagi ke?” soal seorang pengguna Instagram.

Malah, ada juga yang menyentuh tentang penyingkiran awal kumpulan itu dalam Gegar Vaganza, yang menurut mereka menimbulkan keraguan terhadap prestasi pentas Elite.
Walaupun begitu, masih ramai peminat yang menyuarakan harapan agar konsert itu memberikan persembahan yang berbaloi dengan harga tiket. – BOOM!










