Penyanyi Radhi OAG menzahirkan rasa syukur apabila kemenangan berpihak kepadanya, namun mengakui berasa seolah-olah dilabel sebagai pembunuh ketika berdepan dakwaan memukul bekas isterinya.

Sepanjang tiga tahun melalui proses naik turun mahkamah, Radhi menyifatkan pengalaman tersebut sebagai ujian daripada Allah untuk menginsafkan dirinya.
“Macam didakwa pembunuh tapi bagi saya relax saja la, sebab saya tak bersalah. Tiga tahun turun naik mahkamah, boleh gila. Tapi fikir-fikir balik, ini ujian,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak mahu mengambil tindakan terhadap bekas isterinya demi kebajikan anak-anak mereka.

“Ikutkan boleh saja ambil tindakan sebab saya sampai masuk lokap. Tapi nasib baik bukan penjara, saya ambil langkah memaafkan dan melupakan demi anak-anak,” katanya dipetik di Gempak.
Sebelum ini, Radhi didakwa sengaja mencederakan Nur Shahira Ayu di Kota Damansara, Selangor pada 19 April 2022. Pada Ogos tahun lalu, mahkamah membebaskannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Radhi dan Nur Shahira Ayu berkahwin pada 14 April 2014, namun bercerai pada Julai 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata. — BOOM!









