Tindakan menyentuh hati anggota kumpulan BLACKPINK, Lisa, terus mendapat pujian apabila beliau bukan sahaja menjual koleksi pakaian peribadinya, malah kesemua hasil jualan itu disumbangkan kepada badan kemanusiaan antarabangsa, Good Neighbors.
Pertubuhan tersebut ditubuhkan pada tahun 1991 dan kini beroperasi di lebih 50 negara termasuk Gaza dan Myanmar, dua wilayah yang masih bergelut dengan krisis kemanusiaan berpanjangan.
Acara lelongan amal itu berlangsung pada 29 Jun lalu di SPACE DOOR, Yongsan-gu, Seoul, dan menarik perhatian ramai, termasuk rakan selebriti serta peminat.
Antara barang yang dilelong termasuk jaket eksklusif, kasut edisi terhad, dan pelbagai aksesori peribadi milik Lisa.
Lebih bermakna, inisiatif ini turut menyokong amalan mesra alam.
Lisa dan pasukannya tidak menyediakan beg pakai buang dan menggalakkan pembeli membawa beg guna semula sendiri ketika hadir ke acara berkenaan.

Netizen dari seluruh dunia memuji keprihatinan Lisa walaupun beliau bukan Muslim atau berasal dari negara Arab.
Ada yang menyifatkan tindakan beliau sebagai lebih empati daripada sesetengah pemimpin dunia.
“Dia bukan Muslim, bukan Arab, tapi empatinya luar biasa.
Ini baru namanya kemanusiaan sejagat,” kata salah seorang netizen.
Difahamkan, ini bukan kali pertama Lisa menyertai projek kemanusiaan.
Beliau sebelum ini pernah menyumbang untuk pendidikan kanak-kanak di Thailand dan terlibat dalam kempen kesihatan mental. – BOOM!









