Linda akhirnya kembali menyertai kumpulan Elite selepas berjaya dipujuk oleh Datuk Norman Abdul Halim, sekali gus mengesahkan kemunculan semula barisan asal kumpulan itu pada konsert GenKRU The Finale: One More Time yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Linda dilihat menghadiri sesi latihan bersama ahli Elite lain, sekali gus menjawab tanda tanya peminat mengenai kehadirannya di pentas reunion itu.
Menurut Datuk Norman, beliau mengambil pendekatan peribadi untuk meyakinkan Linda kembali ke panggung seni kerana mahu memastikan kesemua ahli Elite bersatu semula dalam anggota asal.
Katanya, antara perkara pertama yang ditegurnya ialah mengenai tekanan media sosial.
“Saya cakap jangan layan cemuhan di media sosial. Padam atau sekat sahaja. Sebaliknya hargai peminat yang menyokong. Linda ada lebih 1 juta pengikut di Instagram,” katanya kepada Boom!

Norman turut menegaskan bahawa hubungan mereka sudah lama terbina, jauh sebelum kewujudan media sosial dan fenomena viral hari ini.
Kata beliau, dia juga menganggap Linda seperti adik sendiri.
“Saya anggap Linda macam adik, selalu bagi nasihat sejak umur dia 17 tahun,” jelasnya.

Norman pada masa sama mengesahkan Elite akan tampil dengan barisan anggota asal di GenKRU The Finale pada 22 November ini sekali gus menjadikan persembahan mereka antara segmen paling dinantikan peminat. –Boom!









