Pelakon popular Korea Selatan, Lee Jong-suk, membatalkan pertemuan peminatnya di Manila selepas agensinya mengambil kira kebimbangan keselamatan.

Pembatalan itu dibuat berikutan protes besar-besaran yang sedang berlaku di ibu kota Filipina.
A-Man Project memaklumkan bahawa keputusan pembatalan dibuat demi keselamatan semua pihak yang terlibat, termasuk peminat dan kru produksi.
“Keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang teliti, mengutamakan keselamatan peminat, artis dan semua kakitangan memandangkan perhimpunan yang dijadualkan pada hari yang sama,” kata agensi itu.

Protes itu berkaitan skandal rasuah projek kawalan banjir yang mencetuskan kemarahan rakyat, dengan ribuan orang turun ke jalan menuntut akauntabiliti kerajaan.

Agensi tersebut turut memohon maaf kepada para peminat yang menantikan acara itu dan meminta mereka memahami kesulitan yang timbul akibat pembatalan tersebut.
Lee Jong-suk dijangka meneruskan siri pertemuan peminat di lokasi lain seperti Bangkok, Hong Kong dan Seoul. –Boom!









