Nama Kristen Stewart, 35, kembali menjadi perhatian apabila pelakon Hollywood itu secara terbuka mendedahkan realiti pahit yang sering dialami pelakon wanita dalam industri lakonan.

Dalam satu temu bual terkini, Stewart mengakui dia kini lebih menikmati peranan sebagai pengarah kerana beranggapan pelakon wanita sering diperlakukan secara tidak adil di set penggambaran.

Menurut Kristen, pengalaman bertahun-tahun berada di hadapan kamera membuka matanya tentang budaya kerja yang tidak seimbang, di mana suara pelakon wanita sering dipandang remeh dan dikawal oleh pihak lain.
Situasi itu membuatkan dia berasa hilang kebebasan kreatif, sekaligus menimbulkan keletihan emosi.

Sebaliknya, apabila berada di kerusi pengarah, Kristen berasakan dirinya mempunyai kawalan penuh terhadap visi seni dan proses penceritaan.
“Tanggapan bahawa seseorang perlu pengalaman atau kemahiran teknikal bagi melindungi industri sebenarnya hanya pandangan lelaki semata-mata, seolah-olah menghasilkan filem terlalu sukar.
“Sebenarnya sesiapa sahaja boleh hasilkan filem tanpa pengalaman dan kemahiran,” katanya dipetik Entertainment Weekly.

Dia bebas membuat keputusan tanpa perlu bergantung kepada persepsi luaran atau tekanan industri yang sering meletakkan pelakon wanita dalam kotak tertentu.
Pengakuan berani ini mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, dengan ramai netizen memuji keberanian Stewart bersuara mengenai isu sensitif yang jarang dibincangkan secara terbuka. Ada juga yang menganggap kenyataannya sebagai tamparan halus kepada sistem lama Hollywood. -BOOM!










