Kourtney Kardashian akhirnya tampil menangkis khabar angin liar yang mendakwa anak sulungnya, Mason Disick, 15, sudah bergelar bapa. Menerusi Instagram Story pada Ahad, bintang realiti berusia 45 tahun itu tampil menepis spekulasi tersebut dengan tegas.
“Saya jarang memberi respons terhadap khabar angin atau teori konspirasi mengenai diri saya atau keluarga, tetapi kali ini melibatkan anak saya. Saya rasa tidak wajar membiarkan sesiapa percaya walaupun sekejap bahawa semua ini benar. Ia sama sekali tidak benar,” tulis Kourtney.

“Mason tidak mempunyai anak.”
Selain itu, Kourtney turut mendedahkan bahawa akaun media sosial yang menyamar sebagai anaknya adalah palsu dan meminta agar semua pihak lebih menghormati privasi anak-anaknya.
“Akaun-akun yang berpura-pura menjadi Mason adalah FAKE. Anak saya sangat menghargai privasinya, dan saya meminta semua pihak, terutama media, untuk lebih menghormati perasaannya. Dia masih kanak-kanak yang mempunyai masa depan cerah. Hentikan penyebaran berita palsu ini!” tambahnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mason memilih untuk menjauhkan diri daripada dunia glamor keluarganya dan tidak lagi muncul dalam rancangan realiti The Kardashians.
Sebagai info, Kourtney memiliki tiga anak hasil perkahwinannya dengan Scott Disick, iaitu Mason, Penelope, dan Reign. Dia juga baru sahaja menyambut kehadiran anak keempatnya, Rocky Thirteen, bersama suaminya, Travis Barker. – BOOM!









