Kumpulan nasyid kontemporari UNIC melakar sejarah dengan mengadakan konsert solo penuh pertama mereka, This Is UNIC: Live In Concert, di Idea Live Arena.

Konsert yang dianjurkan oleh Triple Am Global ini menonjolkan bahawa muzik nasyid kekal relevan dalam landskap hiburan arus perdana.

UNIC membawakan lagu-lagu popular seperti Hanyut, Balqis, Remaja, diikuti dengan karya matang termasuk Jalinan dan Keroncong Kasih Sayang. Segmen lebih tenang seperti Doa Dhuha, Qunut Nazilah dan Anak Soleh memberikan pengalaman penghayatan rohani kepada penonton.

Sorakan memuncak ketika lagu ikonik Hanya Tuhan Yang Tahu, Mahligai Kasih dan Ainul Mardhiah dipersembahkan secara nyanyian bersama.
Dianggarkan lebih lima ribu orang menghadiri konsert itu yang turut menampilkan Naufal Isa dan Nizam Laksamana.

UNIC menyifatkan konsert itu bukan sebagai penamat, tetapi permulaan baharu untuk mengangkat martabat nasyid ke pentas lebih besar.
Konsert itu juga membuktikan peminat masih teruja, manakala nasyid terus diminati ramai dan semakin kukuh dalam industri muzik tempatan. -Boom!










