Konsert kumpulan K-pop ikonik 2NE1 yang berlangsung di Los Angeles pada 3 Jun lalu mencetuskan tanda tanya ramai apabila salah seorang anggota, Park Bom, langsung tidak muncul di atas pentas.
Apa yang lebih mengelirukan, hanya beberapa minggu sebelum konsert itu, Park Bom memuat naik satu hantaran bertulis “Park Bom in LA” di akaun peribadinya pada 21 Mei, seolah-olah memberi bayangan bahawa dia berada di bandar yang sama.

Namun begitu, kehadirannya tidak kelihatan langsung semasa konsert berlangsung, menimbulkan spekulasi dan kebimbangan peminat mengenai sebab sebenar ketiadaannya.
Sementara itu, tiga anggota lain iaitu CL, Dara dan Minzy tetap memberikan persembahan bertenaga dan berkongsi momen konsert bersama peminat.

Kesemua mereka memuat naik gambar yang sama menunjukkan mereka tampil bergaya dan penuh keyakinan di atas pentas.
Terdahulu, pada bulan lalu, 2NE1 telah mengadakan konsert penutup dunia mereka ‘Welcome Back’ di KSPO DOME, Seoul, sebagai kemuncak kepada jelajah mereka yang penuh nostalgia. – BOOM!










